Isnin, 2009 September 28

Mozaik 21

--<@@>--
Tak terasa, sebulan sudah aku di kampung. Tanpa pekerjaan, berijazah dari universiti, maka profil demografiku dapat digambarkan seperti ini: penganggur paling intelek di Pantai Timur Belitong.

Konsolidasi, itulah yang kulakukan sekarang, konsolidasi. Secara diplomasi istilahnya begitu. Namun, yang sesungguhnya terjadi ialah ungkapan konsolidasi itu untuk memujuk diri sendiri. Sebab, aku ini tak lebih daripada jutaan orang muda berijazah pengajian tinggi di negeri ini yang gugup ketar-ketar menghadapi masa depan. Jika melihat para petinggi dan wakil-wakil rakyat di negara ini, rasanya suram, suram sekali masa depan itu.

Maka, aku belajar melihat hidupku daripada perspektif yang berbeza. Yakni, saat-saat ini kuanggap aku sedang memberi hadiah pada diriku sendiri dengan sedikit berlengah-lengah di kampung. Cooling down, begitulah kira-kira. Kan, selama ini aku telah mendidik diriku demikian kuat, sejak kecil, tanpa rehat, demi pendidikan itu, demi masa depan itu.

Kerana itu, saban pagi, kunikmati saja saat-saat ketika ibuku menjelma menjadi pembaca warta berita RRI pukul tujuh. Merepetlah sindiran tentang mengapa aku tak bekerja, tentang betapa pemalasnya anak-anak muda Melayu zaman sekarang.

"Sudah aku kata dulu!" cetusnya.
"Masuk saja madrasah, mengajar mengaji, cepat-cepat cari isteri, dapat pahala, dapat rangsum beras!"

Ibu sendiri sangat bangga dengan sepucuk kertas yang menandai dirinya pernah sekolah dua tahun di Sekolah Rakyat (SR). Dia juga mendapat pendidikan tamabahan di madrasah. Sijil SR itu memberinya perbezaan sangat besar daripada kebanyakan lelaki dan perempuan angkatannya. Pada masa itu ibu dianggap sangat terpelajar. Perbezaaan itu ialah ibu dapat membaca.

Sari berita ibu kemudian berulang-ulang soal Si A yang anaknya sudah masuk sekolah rendah, Si B yang anaknya kembar tiga, dan Si C yang akan segera beranak.

"Apa yang kau cari dalam hidupmu itu?"

Aku bertakafur seperti orang mengheningkan cipta. Dengan cara apa aku dapat menerangkan pada ibu soal konsep keseimbangan ekonomi? Bahawa aku, seperti halnya jutaan graduan yang sedang gugup itu, memiliki cita-cita demikian tinggi, tapi sistem keseimbangan ekonomi republik ini belum dapat menampung orang seperti kami. Sempit sekali lapangan kerja itu. Seandainya ibu kenal sedikit sahaja dengan Edgeworth, secepat kilat dapat kulukis diagram di atas meja makan ini, bahawa bangsa ini salah-salah dapat muflis, dan orang sepertiku dengan mudah tergulung dalam kebangkrapan itu. Tak jadi sarjana, dan tak tinggi harapan, barangkali akan membuat hidup lebih mudah. Maka di negara ini, para pemimpin adalah pemberani. Mereka kesateria di tanah nan tak peduli. Medal harus dikalungkan di leher mereka.
--<@@>--



MARYAMAH KARPOV - Andrea Hirata
(teruskan membaca dengan mendapatkan novel ini dipasaran)

2 comments:

joey berkata...

haha...sabar ajerla

ada nasib nanti tuh :)

Mr Final berkata...

hahaha.. JOEY!... kamu sgt memahami!.. ade keje kosong x!? nak keje kat tmpt ko lah~

Blog Widget by LinkWithin